Mutiara Hikmah

"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah; menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa; menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa"

Friday, December 4, 2015

Kalau kita nak nasihat orang?

Kalau kita hendak menasihati orang, Tanya hati kita dahulu Tujuan kita hendak beri nasihat atau hendak memberi malu pada orang.
Apabila kita hendak menyampaikan ilmu kepada orang, Apakah tujuan kita? Hendak berkongsi ilmu atau hendak menunjuk yang kita lebih tahu.
Kalau kita hendak bercakap tentang sesuatu, kita tentu tahu niat kita, hendak menunjuk kita pandai atau rasa berkewajiban menyampaikan ilmu".
Ingatlah pahala sesuatu amal ditentukan oleh keikhlasan kita. Kalau tujuan bukan kerana Allah, amalan itu akan menjadi macam debu. Bukan pahala kita dapat tapi bala.

10 Peringatan Buat Diri


Pertama: Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Kedua: Melazimi membaca Al-Qur'an dan zikir al-mathurat sebelum terbit matahari.
Ketiga: Memelihara kesempurnaan solat kerana inilah kekuatan mukmin muslim yang utuh
Keempat: Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Kelima: Jaga sedekah setiap hari. Walaupun hanya dengan sekuntum senyuman
Keenam: Jaga wudhuk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu'.
Ketujuh: Amalkan istighfar setiap masa agar terhapus segala dosa dan noda.
Kelapan : Perbaharui Azam dan Tekad untuk terus berkhidmat kerana Allah SWT
Kesembilan : Sentiasa ceria dan berfikiran positif kerana itulah watak seorang mukmin sejati
Kesepuluh : Memelihara Diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah SWT kerana disitulah terletaknya nilai amalan di sisi Allah SWT.

Hari ini lebih baik dari semalam?


Sabda Rasullullah SAW:
“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimana kita hari ini?
Apakah kita ingin menjadi orang yang berjaya atau orang yang gagal?Orang terpedaya barangkali?
Diri kita sendirilah yang perlu kita ubah. Barulah orang di sekeliling kita ikut berubah. Perubahan ke arah kebaikan. Tak perlu tunggu detik awal tahun yang bakal tiba tidak lama lagi barulah nak berazam hendak berubah.
Kita asyik mengharap orang berubah sedangkan kita masih begitu. Kalau semalam kita lalai dengan dunia, jadikan hari ini untuk kita sentiasa beringat bahawa dunia ini hanya sementara. Apa bekal kita untuk akhirat?
Semalam kita orang yang suka solat di hujung waktu atau tak solat. Jadikan hari ini kita orang yang solat dan solat di awal waktu.
Semalam kita tak pernah nak baca al Quran, jenguk pun payah. Jadikan hari ini kita orang yang suka baca al Quran dan melazimi membacanya.
Semalam kita jarang buat kebaikan, jadikan hari ini kitalah orang yang suka berbuat kebaikan.
Semalam kita orang yang pemalas. Semua kerja tak nak buat. Asyik nak harapkan orang saja. Jadikan hari ini kita orang yang rajin dan boleh diharap pula.
Berubahlah...Allah takkan ubah nasib kita jika kita sendiri yang tak berubah. Muhasabah diri kita.
Kerana HARI INI mungkin milik kita tapi ESOK belum pasti. Jangan sia-siakan nikmat hari ini yang Allah berikan. Kita risau esok kita tak sempat untuk berubah dan bertaubat.

Ini Rahsia


Ini adalah sebuah rahsia, dan rahsia ini hanya terbongkar apabila anda mengamalkannya.
Allah suka orang yang sentiasa memperbaharui dirinya, dengan kata mudah, Allah suka orang yang setiap detik dia mahu jadi dan berikan yang terbaik. Allah suka orang yang sentiasa membersihkan dirinya.
Sebagai hadiah, Allah akan beri dalam bentuk idea yang mantap, kemahiran yang berguna, ilmu yang bermanfaat dan dihadirkan orang-orang sedia membantu kita dengan bersungguh-sungguh.
Tak percaya?
Cubalah. Tapi ingat, ini rahsia tau, dan kalau rahsia mesti kita mahu cerita pada orang yang kita sayang dan cinta, bukan?